Tuesday, November 17, 2020

HADHANAH / HAK JAGAAN ANAK

Tuntutan Hak Jagaan Anak boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah


 

KES JENAYAH SYARIAH




 

FASAKH / PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Tuntutan Fasakh boleh dibuat ke Mahkamah Rendah Syariah berdasarkan Seksyen 53 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004.



HARTA SEPENCARIAN


 Tuntutan Harta Sepencarian hendaklah dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah




PENGESAHAN NIKAH / PENGESAHAN NIKAH POLIGAMI



Permohonan Pengesahan Nikah hendaklah dibuat ke Mahkamah Rendah Syariah. Manakala, bagi kes Permohonan Pengesahan Nikah Poligami hendaklah dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah.


 

KESAN TIDAK MENDAFTARKAN PERNIKAHAN LUAR NEGARA DI MALAYSIA


Kesan yang akan berlaku jika pasangan pergi bernikah luar negara dan apabila balik ke Malaysia tidak sahkan di Mahkamah Syariah



 

Thursday, June 18, 2020

HARTA SEPENCARIAN

 Mengikut tafsiran Seksyen 2 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004:
"Harta Sepencarian" ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
Harta Sepencarian tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat Melayu yang telah diterima dan mendatangkan kebaikan kepada pihak-pihak. Di dalam Islam apabila adat atau ‘uruf diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat tetapi menjadi suatu peraturan atau undang-undang Islam yang dibuat oleh pemerintah berdasarkan kepada satu kaedah Fiqhiyyah Al’Adat Muhakkamah yang bererti adat itu diakui dan diberi pengiktirafan undang-undang.
Tambahan lagi, pengambilan adat sebagai asas hukum syarak adalah dibenarkan selama ia tidak menyalahi hukum atau prinsip-prinsip syariah. Sehinggakan salah satu daripada lima kaedah fiqh utama ialah: “al-‘adah muhakkamah”, iaitu adat boleh diterima sebagai asas atau dasar hukum.
Didapati bahawa amalan adat pembahagian harta sepencarian yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam negara ini tidak menyalahi syariah, bahkan ia selari serta mendukung maksud dan prinsip syariah. Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi berpendirian bahawa pengamalan pembahagian harta sepencarian adalah suatu yang selari dengan prinsip keadilan dalam Islam.
Amalan tersebut memberi keadilan kepada suami isteri yang bersama-sama membina kehidupan. Ia juga bertepatan sebagaimana dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Bagi kaum lelaki mendapat bahagian apa-apa yang mereka usahakan dan bagi kaum perempuan juga mendapat bahagian apa-apa yang mereka usahakan”
Qawl Ibn Mas’ud juga menyatakan bahawa apa yang dilihat oleh Muslimin sebagai satu perkara baik, maka ia juga baik di sisi Allah S.W.T.

Dari segi undang-undang dapat kita lihat pada Seksyen 122 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 mengenai harta sepencarian iaitu:

(1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang-
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh setiap pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
(b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi dalam apa-apa hal, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, sebutan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan oleh satu pihak termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.
Kita boleh merujuk kepada kes Norshima Zainal Shah lwn Mahazir Ramly [2012] 1 CLJ (Sya) dimana Yang Arif Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin menyatakan bahawa tuntutan terhadap Harta Sepencarian boleh dibuat tanpa mengira sama ada harta tersebut dinamai atas nama isteri mahupun suami. Begitu juga, berdasarkan Seksyen 122 Enakmen, sekiranya sumbangan kearah perolehan harta merupakan secara langsung, maka mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.
Merujuk pula kepada kes Roberts Kamarulzaman lwn. Ummi Kalthom [1965] 3 LNS 1 dimana pihak-pihak telah bercerai dan bekas suami menuntut rumah yang dibeli dalam tempoh perkahwinan adalah Harta Sepencarian. Mahkamah perintahkan rumah tersebut adalah Harta Sepencarian dan dibahagi sama rata di antara mereka.
Merujuk pula kepada kes Kalthom Abdul Wahid lwn Nordin Othman [1994] 3 LNS 17 dimana semasa dalam hidup mereka sebagai suami isteri pihak-pihak telah menerima tiga keping tanah pemberian kerajaan dan sama-sama mengusahakan tanah tersebut. Oleh itu, Yang Arif Hakim Sheikh Ghazali Haji Abdul Rahman H memerintahkan hartanah tersebut sebagai sebahagian daripada Harta Sepencarian di antara Yang Menuntut dan Yang Kena Tuntut. Dengan itu Yang Kena Tuntut hendaklah memberi setengah bahagian daripada tanah dan pampasan di atas tanah tersebut yang telah dimajukan oleh Syarikah Perumahan Pegawai Kerajaan Sendirian Berhad kepada Yang Menuntut.

Thursday, April 23, 2020

FASAKH ATAU PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Fasakh adalah salah satu daripada jenis perceraian selain cerai talaq, ta’liq, khuluq (tebus talaq), lian.

Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh mengikut Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 ialah apabila suami atau isteri :

1) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
2) Cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
3) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
4) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
5) Telah mati pucuk.
6) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
7) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
8) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
9) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat
10) Memaksa isteri hidup secara lucah.
11) Melupuskan harta isteri.
12) Menghalang isteri atau suami menunaikan kewajipan agama.
13) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
14) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
15) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

Perceraian secara fasakh adalah berbeza dari perceraian yang dilafazkan oleh suami. Apabila hakim menjatuhkan fasakh terhadap suami atau isteri, maka talak yang gugur ialah TALAK BAIN SUGHRA dimana bekas suami dan isteri tidak boleh merujuk semula dan tidak boleh berkahwin semula melainkan dengan akad nikah yang baru. Fasakh juga tidak mengurangkan bilangan talak.


Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin memohon tuntutan fasakh di mahkamah atas mana-mana perkara di atas bolehlah segera ke mahkamah berdekatan tempat anda atau berjumpa dengan mana-mana Peguam Syarie yang bertauliah.


Sebarang pertanyaan boleh isi maklumat dan mesej anda di ruangan kanan —>


Wednesday, April 22, 2020

SALAM RAMADHAN 1441H



 بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاتة

Salam ramadhan dan selamat berpuasa. Puasa dari segi syarak bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu.

Niat berpuasa di dalam bulan ramadhan adalah:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالى 

"Sahaja aku berpuasa fardu esok hari pada bulan ramadhan tahun ini kerana Allah Taala"

Manakalah doa berbuka puasa adalah:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ أَمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين

"Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan kepadaMu aku beriman dan dengan rezekiMu aku berbuka, dengan RahmatMu wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang"

Dalam bulan ramadhan ini marilah kita sama-sama:
  • Memperbanyakkan bacaan Al-Quran;
  • Memperbanyakkan istighfar;
  • Memperbanyakkan sedekah;
  • Memperbanyakkan doa;
  • Mendirikan solat sunat tarawih;
  • Menghidupkan malam dengan qiamullail dan solat-solat sunat;
  • Melewatkan sahur;
  • Memberi makan kepada orang yang berpuasa ketika berbuka; dan
  • Meninggalkan perkara yang sia-sia.